Perkongsian pengalaman.. kenangan anak-anak.. resepi.. percutian..

Friday 29 March 2013

Apam Balik Stesen Bas Taiping


Hai petang-petang ni teringat "apam balik" la pulak.. makan panas-panas sedap ni. Ini gambar 2 minggu lepas, lokasi Hentian Bas Taiping, kat Medan Selera. Singgah sini sebab mak teringin sangat ke kedai kain Fiona dekat stesen bas taiping ni, lepas bawa mak beli kain ela untuk buat baju raya.... pekena cendol, laksa dan apam balik pula. 

~Heheheh cepatkan  beli kainnya.. nak buat macam mana kena tempah, so kena awal-awal la hantarnya. Kalau lambat nanti orang tak nak ambil dah.

Ape pun memang terbaik la apam balik ni... sedap teringat-ingat nak makan le pulak... Masa singgah sini kena lak dengan cendol mamak. Huhu.. petang-petang pulak, ...

Nak ke pasar malam lah cari apam balik. Tapi pastinya tak sama dengan Apam Balik Stesen Bas Taiping ni.

Wednesday 27 March 2013

GIVEAWAY : EDY 3 DESTINASI

Salam Kenal buat Edy..

Tujuan join Giveaway Eddy selain nak merasa dapat hadiah FM fridge magnet ) dari Edy, nak cari follower untuk blog ini juga.. blog yang masih baru.. entri nya tentang cerita anak-anak.., pengalaman.., keibuan.., semacam dairi pun ia..(dairi yang tak berapa peribadi) ~hehehe..

Ok bagi sesiapa yang nak join giveaway Edy ni boleh la terjah tuan punya blog untuk syarat-syarat mudah : KLIK SINI

www.danielzaidi.com Saya dah join..

Jom tengok hadiah-hadiah yang bakal di menangi




Seorang (1) akan memenangi ketiga-tiga FM dari ketiga-tiga destinasi yang edy dah pergi..
12 orang lain akan menang salah satu dari Fm tersebut.
Tarikh tutup: 3/4/2013

Hot Mommies

Best Friends Forever... Love u all's.. 


Bahagianya kita kalau kita dapat sahabat yang susah senang bersama kita... tak jemu-jemu dengar keluhan walau kita berUlang-ulang kali menceritakannya..
 atau berkongsi suka dan duka kita..

Kita akan dapat sahabat seperti itu, kalau kita sama-sama menpunyai sikap seperti itu..
buat selamanya dengan sahabat kita. Tak ada cemburu, tak ada iri hati..
siapa kata sahabat baik bukan hanya seorang?
Sentiasa memanfaatkan masa yang terluang walau sedikit untuk bersama..

Sayang kamu berdua..
Walau jauh di mata tapi tetap dekat di HATI..


Monday 25 March 2013

Semalam di Medan Selera Bomba Taiping

Ahad semalam, memang saya tak masak makan tengah hari ataupun makan malam. Pagi sebelum hantar abang Izz ke kelas membaca (kelas ganti) sarapan dengan mee segera dan milo aje. Sementara tunggu kelas abang  tamat, saya terus memandu ke rumah kawan yang dah macam kakak saya sendiri "Kak Fisza". Khabarnya tapak tangan dia tertusuk duri ikan duri. Macam parah juga lah, sampai ambulan datang bawa dia ke wad kecemasan untuk keluarkan duri ikan yang tertusuk dalam tapak tangan. Dalam juga la kesan torehan oleh doktor untuk keluarkan duri tu, kata dia ok je.. "jauh dari perut".. Ngeeh.. Ngeeh... Tapi masa mula-mula kena panic juga.

Langkah Kanan... Makan tengah hari semalam di rumah kak Fisza je la..  Balik tu trus ambil abang Izz, terus je balik rumah. Dah sampai rumah tengah hari panas teringat ais krim pulak.. Ke kedai semula, beli aiskrim Nestle Coklat 1.5L (yang itu aje yang ade kalo dalam bekas berpenutup kat mini market depan rumah ni.. tu pun kedai nak tutup dah... sebab mini market tu ahad memang separuh hari je buka kedai.) 
Habis sekali hadap je, tiga beranak RM7.50
Anak-anak saya senang, kalau bab makan ni, makan je apa yang ada.. tak pernah cerewet. Jadi sepetang semalam memang saya depan lettop saja. Sambil-sambil update entri tentang kelahiran Caesarean juga online facebook, sambil-sambil juga main game Farm Ville 2, sambil-sambil google dan chattting dengan kawan-kawan. Bila dah petang mula atur strategi nak makan apa dan di mana. (Ajak En.Suami makan kat luar la...) Sebelum tu minum petang pun simple, milo panas cicah biskut Hup Seng cap pimpong.

Lokasi pilihan "Medan Selera Bomba Taiping"

Chiken Chop with Blackpaper Sauce Ekonomi  RM6.90
Sebab harga ekonomi, mula-mula cuba 1 hidangan, lepas tu sebab rasa sedap blackpaper sauce tu tambah oder lagi 1 hidangan. Berpatutan dengan harganya.

Satey Ayam 20 cucuk RM11
Satey ayam ni saya makan sorang.. hehehhe percaya tak? Sebab suami saya tak berapa gemar makan satey, anak-anak pula tengok menu, kalau 1 menu satey aje.. memang tak cukup 20 cucuk.  Perut dah sendat, tak dapat nak habis kan semua tinggal 3 batang.  Bukan makan satey aje..

Makan time, tak ingat lain dah... Yong Tau Foo menu wajib kalau ke sini. Ambil sikit aje.. RM12
Hum.. kenyang, memang kenyang sampai sendat perut tolong habiskan makanan. Memang tak jumpa nasi la semalam yang ada pun ketupat, makan dengan kuah kacang. Minuman anak-anak biasa la kalau ke sini ABC. Tak ingat nak snap pict yer kali ni, sebab sedap menjamu selera. Melayan kerenah dua beradik ni lagi.

Sunday 24 March 2013

Kelahiran Melalui Kaedah Caesarean Section (LSCS)

Sedikit info untuk di kongsi bersama. Mengapa perlu bersalin melalui kaedah caesarean? Dan ini adalah cara kelahiran anak-anak saya. Caesarean Section adalah sejenis kaedah bersalin yang menyebabkan pembedahan. Insisi di buat pada abdomen si ibu dan uterus untuk proses mengeluarkan bayi. Kaedah ini biasanya di aplikasi apabila bersalin melaui faraj boleh membahayakan atau mengancam keadaan bayi mahupun ibu.



SEJARAH

Terdapat mitos yang menyatakan perkataan "caesarean" berasal dari "Caeser" seorang pemerintah dari negara Rom. Beliau di katakan telah dilahirkan melaui kaedah caesarean section ini. walau bagaimanapun kebenaran cerita ini telah di ragui kerana ibunya Aurelia Cotta masih hidup selepas melahirkan beliau. Ini kerana pada zaman itu kelahiran caesarean section di lakukan sekiranya ibu berada dalam keadaan yang kritikal dan ia merupakan satu percubaan untuk meyelamatkan bayi dalam kandungannya dan bukanlah untuk meyelamatkan ibu.

Perkembangan teknik pembedahan dan pelalian telah meningkatkan keefisienan kaedah ini. Ia telah berjaya merendahkan kadar kematian dan kecacatan. Kejayaan caesarean section yang pertama di catatkan pada 1882. Walau bagaimana sekalipun terdapat komplikasi kerana kekurangan fasiliti.

Mengapa ibu memerlukan Caesarean Section' ?

Laporan mengenai bersalin melaui kaedah caesarean deliveries menyatakan, 50% darinya adalah di rancang, manakala 50% lagi adalah emergency caesarean.  Oleh itu, Elective Caesarean diperlukan untuk :

  • Kandungan kembar
  • bayi dalam kedudukan songsang di mana kepala di atas atau bayi dalam keadaan melintang
  • plasenta menghalang salur kelahiran 
  • ibu mengidap darah tinggi yang serius.
  • mempunyai sejarah komplikasi kelahiran yang sebelumnya. (yang ini seperti keadaan saya sekarang)
Bila Emergency Caesarean' di perlukan ?
  • untuk mengelakkan komplikasi ketika bersalin, contohnya bila bayi terjerut oleh tali pusatnya atau bayi di kuatiri akan lemas dalam kandungan.
  • bukaan serviks tidak memadai.
  • kedudukan bayi tidak sesuai untuk kelahiran normal
Prosedur kelahiran Caesarean Section'
  • Ibu mesti berpuasa 6 jam sebelum menjalani pembedahan
  • Menjelang prosedur, jururawat akan membantu ibu memakai pakaian khas dan mencukur bulu pubis.
  • Kateter getah akan di masukkan kedalam salur kencing untuk mengosongkan pundi kencing.
  • saluran intravena juga akan di masukkan.
  • Pakar perbidanan akan membuat insisi berukuran 10cm panjang di bawah abdomen selepas ibu di bius.
  • bahagian bawah uterus juga akan di potong,prosedur inilah yang dinamakan LSCS (Lower Segmen Caesarean Section) yang mana bahagian bawah di bedah
  • Air ketuban, atau cecair amnion akan di pecahkan.
  • Seterusnya bayi akan di keluarkan melalui uterus.
  • Tali pusat akan di kepit dan di potong bagi mengasingkan bayi daripada ibunya.\
  • Seterusnya bayi akan di serahkan pada doktor pediatrik.
  • Pakar perbidanan pula akan mengasingkan plasenta dan mengeluarkannya.
  • Uterus mula di jahit pada dua lapisan bergitu juga abdomen akan di jahit pada dua lapisan
  • Selepas prosedur selesai, ibu akan di pindahkan ke bilik pemulihan untuk pemantauan seterusnya.
  • Selepas 4jam proses pembedahan ibu akan di beri air masak untuk percubaan pertama selepas berpuasa, jika tidak muntah barulah di beri susu sebagai pelapik perut.
Secara umumnya masa yang di ambil ketika kulit di insisi sehingga bayi dilahirkan adalah 5 minit, selebihnya adalah pada lain-lain prosedur pembedahan.

Biasanya selepas pembedahan ibu pasti akan mengantuk dan memerlukan rehat. Bahagian bawah dari pinggang ke hujung kaki juga masih akan kebas. Ibu akan diberikan ubat penahan sakit apabila ibu mula sedar. Selepas selesai pembedahan, ibu perlu tinggal di wad bersalin selama 3 hari, untuk pemantauan pertama dan selepas 3 hari juga pelekat pada bahagian luar kulit akan di buka oleh doktor dan di periksa luka dan abdomen ibu. Apabila sudah sedar sepenuhnya, ibu akan merasakan bahagian otot-otot badan mula kendur, tapi jangan risau.. keadaan akan pulih selepas 6 minggu. Ibu yang bersalin caesar juga di galakkan mengurut secara tradisional bagi memulihkan tenaga juga mengembalikan bentuk badan, tetapi tidak di galakkan berurut di bahagian perut (rahim) kerana luka dalaman masih belum betul-betul pulih sepenuhnya.
Sebaiknya selepas 1 hari ibu di galakkan untuk mencuba bagun sendiri dengan berpaut pada katil, tetapi tidak terlalu gelojoh. Mulakan dengan pergerakan perlahan-lahan untuk cuba bangun, kemudian duduk, dan cuba berjalan perlahan-lahan untuk kebilik air. Jika perlu bantuan, beritahu jururawat yang bertugas.  Bila mula berjalan selepas cubaan bangun dari katil mungkin badan akan di bengkokkan, tapi harus cuba tegakkan badan bila berjalan, ini adalah untuk mengelakkan luka di bahagian pembedahan melekat. Pemakaian seluar dalam pula, cuba pakai yang lebih tinggi dari pusat dan harus dari kain dan getah yang lembut untuk megelakkan terkena pada tempat luka. Ibu perlukan rehat yang bayak dan tidak dibenarkan mengangkat benda yang berat selain dari bayi, dan perlu berhati-hati. Untuk minggu pertama ibu tidak di galakkan mandi, hanya perlu melembabkan diri dengan span lembut, ini adalah untuk mengelakkan luka terdedah pada air. Ibu boleh mandi seperti biasa selepas pulang dari hospital dan luka boleh dicuci, tetapi harus di ingat tidak dedahkan luka pada air terlalu lama, selepas mandi luka perlu segera di keringkan, untuk percepatkan proses baik pulih luka luaran. kadang kala luka akan menjadi lebih sensitif, gatal dan tidak selesa untuk beberapa minggu. Jika berlarutan bolehlah dapatkan krim untuk di sapu pada bahagian luka di farmasi. (saya guna krim Har-One) Biasanya luka luaran akan sembuh sepenuhnya dalam 6 minggu selepas pembedahan. Selama tempoh ini ibu tidak di galakkan untuk bergerak aktif.

Mitos 1
Sekali ibu yang melalui pembedahan LSCS ini, yang mempunyai masaalah bersalin normal, akan melalui kaedah LSCS ini untuk kelahiran seterusnya. Tapi tidak di galakkan kelahiran yang ramai, hanya 3 kali kelahiran sahaja, untuk mengelakkan risiko yang lebih tinggi pada ibu dan bayi.

Fakta
Pada zaman dahulu insisi dilakukan secara menegak untuk pembedahan caesarean, ini telah menyebabkan luka menjadi lebih parah dan risiko berlakunya pendarahan apabila mencuba bersalin normal pada kelahiran seterusnya. Di sebabkan itu lah apabila telah melaui kaedah kelahiran caesar untuk kelahiran pertama dan akan melaluinya lagi untuk proses kelahiran akan datang. tapi kini kaedah pembedahan caesarean di lakukan melintang di bawah rahim untuk mengelakkan pendarahan rahim dan risiko kehilangan darah yang banyak sewaktu proses pembedahan. Untuk kelahiran kedua selepas kelahiran pertama secara Caesarean, ibu di galakkan untuk bersalin normal melalui faraj , jika keadaan ibu dapat berbuat demikian sahaja. Bagaimanapun, setelah melalui 2 atau lebih pembedahan Caesarean, ibu akan dinasihatkan untuk bersalin secara Elective Caesarean kerana risiko parut lama caesarean akan berdarah adalah tinggi berdasarkan bilangan pembedahan caesarean lalu. Risiko rahim akan berdarah apabila bersalin secara normal setelah melalui caesarean pertama atau ke dua adalah 1% dan risiko untuk kehilangan bayi atau komplikasi yang berkaitan bayi dan ibu adalah 10% ke 30%  apabila pendarahan mula berlaku. Dan bila sudah lebih 3 kali kelahiran secara Caesarean, ibu akan diberi nahihat agar tiub laluan persenyawaan akan di ikat bagi mengelakkan ibu hamil lagi bagi menurangkan risiko bayi dan ibu pada masa akan datang.

Mitos 2
Pembedahan Caesarean akan mengelakkan risiko organ punggung jatuh dan kencing tidak terkawal berbanding bersalin normal.

Fakta
Terdapat kaitan antara kesan jangka masa panjang dan trauma bersalin normal dengan peningkatan risiko organ punggung jatuh dan kencing tidak terkawal. Bagaimanapun, ini bukan sebab untuk bersalin secara pembedahan. Setiap wanita seharusnya mengelakkan atau menghindari perkara yang tidak dijangka dengan mengambil langkah mengekalkan berat badan yang sihat dan mengamalkan 'pelvic floor exercise' senaman kagel selepas bersalin.

Mitos 3
Sebelum bersalin, ibu mengandung boleh di jangka untuk bersalin normal atau sebaliknya melalui caesarean.

Fakta
Beberapa kajian telah menunjukkan adalah kurang tepat untuk menjangkakan sesetengah saiz punggung tertentu adalah sesuai untuk kelahiran bayi. Kaedah 'ultrasound mempunyai 10% ke 20% kurang tepat dalam menjangkakan berat bayi dalam kandungan. Oleh itu, kebanyakan doktor mendapati kesesuain seseorang ibu untuk bersalin secara normal adalah melaui ujian makmal.

Saya berharap segala isi yang terkandung dalam entri kali ini dapat di kongsi pada ibu-ibu yang juga melahirkan bayi secara kaedah Caesarean Section. Info ini telah di olah oleh saya untuk lebih di fahami dan juga berdasarkan pengalaman saya melahirkan  2 orang anak secara Caesarean dan sebagai persediaan pada saya yang akan merasainya sekali lagi buat kali terakhir kandungan pada 16 April 2013 nanti. 



Cara Meneran Semasa Bersalin

Nak kongsi sesuatu yang saya pun tak tahu, dan tak berpeluang merasainya dan mungkin ibu-ibu di luar dah tahu dan pernah merasainya,, atau sebaliknya mungkin belum pernah mengalaminya seperti saya.

Sungguh indah saat-saat kehamilan.. tapi bila hari kelahiran semakin dekat mesti hati berdebar, mulalah macam-macam perkara yang bermain di fikiran sorang ibu. Tak kiralah ibu yang pertama kali mengandung atau sudah dua kali atau mungkin ketiga kalinya.. dan seterusnya..

Tips untuk meneran semasa proses kelahiran bayi:

  • buat orang-orang islam, sentiasalah berselawat kepada nabi dan bacalah  bismillah
  • angkat kepala dan biar dagu mencecah dada
  • mata harus memandang ke perut
  • tangan pula pengang bahagian kaki yang hampir dengan buku lali
  • semasa meneran kalau boleh jangan mengeluarkan suara yang kuat atau pun menangis, kerana ini akan membuatkan ibu yang meneran akan kekurangan tenaga
  • semasa meneran juga jangan mengangkat punggung, kerana ini akan meyebabkan luka atau terkoyak besar pada bahagian vagina
  • tarik nafas sedalam yang boleh dan kemudian cuba meneran seperti mahu membuang air besar, (sembelit) teran sekuat yang terdaya dan cuba bertahan selama yang mampu. cuba curi-curi nafas dalam seminit dua, kemudian sambung lagi meneran. cuba 3 kali bila kontraksi berlaku, sebab pada waktu itu bayi pun bergerak sama jadi jangan buang masa, bila ada lagi kontraksi cuba teran lagi. kemudian rehat seketika untuk ambil nafas semula.
  • buat orang-orang islam, dalam keadaan rehat baca bismillah dan selawat 3 kali
  • cuba meneran lagi,dan ikut semula cara-cara meneran dari awal hinggalah bayi selamat dilahirkan, dan jangan bimbang kerana di wad bersalin nanti ramai pakar-pakar akan membantu memberi semangat.
Kata orang berpengalaman melahirkan bayi normal, bila keluar saja bayi dari rahimnya, segala rasa sakit yang titanggung tadi pun keluar sama, hilang semua sakit-sakit dan terpancar pula rasa lega dan gembira apabila mehihat bayi yang baru lahir.

Sedikit pesanan :- "hargailah wanita yang bergelar ibu, tak kira dia melahirkan secara ceaserean ataupun normal, kedua-dua cara kelahiran itu mempunyai rasa sakit yang sama, pergorbanan juga yang sama, demi mempertaruhkan nyawanya atas satu kelahiran 1 lagi nyawa."

Wednesday 20 March 2013

Sekali Lagi Dia Berani, Hero Ibu


Hari ni sekali lagi lagi dia cabut gigi sendiri.. selang 7 hari je dari gigi pertama yang gugur ... SINI tapi kali ni Izz cabut gigi di tabika. Masuk aje kereta dia senyum, tunjuk gusi yang dah kosong tu.. Gigi, dia simpan dalam beg. Sebab, nak tanam kat rumah dekat-dekat dengan gigi yang mula-mula luruh tu.

Hero Nakal IBU : Dhia Izz Hail

Ngeee... buat tatapan abang nanti bila dah besar.. semoga abang akan ingat bila gigi abang mula luruh. Hari Isnin cuti sekolah ni ibu bawa abang ke klinik gigi ok. Untuk pemeriksaan gigi abang.

Monday 18 March 2013

Berdebar-debar Pula Bila Hari di Nanti Telah di Tentukan

Usia Kandungan 34 minggu;
Hari ni saya di temani suami  ke Klinik Ginekologi di Hospital Taiping. Lepas hantar anak-anak ke tabika jam 8 pagi kami langsung ke hospital. Sarapan di rumah saja, segelas susu dan biskut Oreo. Sebab tak nak lewat, nanti orang ramai, alamatnya kena tggu lama la ... Bosan-bosan kalau kena tunggu lama ni. Yang paling bosan adalah En.Suami.

Sampai aje, terus daftar, dan dapat no.21, sempat pandang orang sekeliling dalam klinik tu, lega bila tengok tak berapa ramai. Dan tak juga kena tunggu lama, lepas timbang, dan diperiksa tekanan darah dan air kencing, tunggu sekejap, dah dapat masuk bilik rawatan.

Lepas berbual-bual dengan doktor yang bertugas dan semak rekod kesihatan dan kelahiran juga masaalah-masaalah lalu, juga di periksa keadaan bayi dan saya, doktor bagi tarikh untuk saya masuk wad bersalin dan tarikh kelahiran bayi secara pembedahan. Saya beri 3 pilihan tarikh, 11 April, 16 April atau 17 April. Jadi saya pilih 16 April 2013, sebab hari selasa dan tarikh masuk wad 15 April 2013 hari Isnin,. sempatlah anak-anak ke sekolah dulu pagi 15hb tu, lepas tu boleh la suami hantar saya masuk wad. Saja tak nak tengok muka anak-anak bila abahnya hantar saya masuk wad nanti, karang ada yang nangis, lepas tu tanya macam-macam. Biar nanti balik tabika berjawablah dengan abahnye..

Sebab-sebab kelahiran anak-anak saya perlu melalui kadedah pembedahan...
Sini nak cerita, ...
Anak pertama, lahir 2 minggu sebelum due date. Tanggal 21 Mei 2007 lebih kurang hampir jam 10malam, masih ingat lagi time tu slot drama bersiri "Kaber Hero Kaber Zero". Belum pun tamat drama tu saya masuk bilik nak rehat, sebab rasa bosan pula, tak ada cerita menarik untuk di tonton. Sedang berbual-buang kosong dengan suami, tiba-tiba dalam perut ni terasa sesuatu yang meletup kecil, dan terasa ada aliran air yang keluar tanpa boleh di tahan. Bila bangun saja, terus melimpah-limpah air dengan banyaknya tak boleh nak kontrol lagi.. dan ada sedikit kehijauan bercampur dalam air tu.(macam warna pandan yang di blend) Yang peliknya saya tak sakit, sikit pun tak sakit, suami pulak yang panik, lepas tukar pakaian, kami ke wad bersalin, bila di periksa, kata doktor saya harus di bedah segera bagi menyelamatkan bayi saya yang di kuatiri akan lemas sebab telah kekeringan air ketuban. Tanggal 22 Mei 2007 jam 12:04 lahirlah seorang bayi lelaki yang di beri nama Ahmad Dhia Izz Hail. yang sekarang sudah hampir 6 tahun.

Anak kedua, lahir 5 hari selepas due date. Tanggal 28 Jun 2008, di siang harinya saya masih boleh berjalan-jalan di Kuala Kangsar bersama suami dan anak pertama yang berusia 13 bulan. Sikit pun tak ada tanda-tanda saya saya mahu melahirkan, jururawat ada beri tarikh 29 Jun 2008 (esoknya untuk ke klinik jika masih belum ada tanda-tanda bersalin). Balik dari Kuala Kangsar saya masih macam saya aktif melayan si abang, suami saya keluar menghantar barang di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Dapat sms dari bff yang dia sakit nak bersalin, dan terus saja ke wad bersalin, dalam senyuman, saya siap pesan pada dia nanti tunggu saya pula menyusul.. Malamnya, saya mula rasa contraction dengan lebih kerap, sekejap-sekejap ke bilik air, masih keliru juga dengan tanda-tanda bersalin, maklumlah anak pertama tak rasa sakit bersalin langsung. Bila kerap ke bilik air mak saya mula sedar, (tinggal dengan mak sejak 2 minggu sebelum due date) saya terus hubungi suami supaya cepat sampai dan boleh hantar saya ke wad bersalin. Lebih kurang jam 1pagi saya tiba di wad besalin, doktor cakap baru buka 1cm, tapi sakitnya.. Allah saja yang tahu, saya kena masuk wad. Dalam wad jumpa bff dapat sebelah katil lagi dengan dia. Esoknya Jam 8.30am saya di periksa lagi, sudah buka 3cm saya di arahkan masuk labor room untuk percubaan bersalin normal.. berjam-jam lamanya saya tunggu tak terkira air mata yang mengalir keluar menahan sakit. Tapi laluan pintu rahim tetap 3cm hinggalah ke jam 4.30pm, doktor bagi cadangan saya perlu di bedah, bagaikan "mengantuk di sorongkan bantal" saya mengangguk sebab dah tak tahan sangat sakit yang di tanggung. Tanggal 29 Jun 2008 jam 5:25pm lahir lah seorang bayi perempuan yang di beri nama Nur Syasya Hazira. Yang kini sudah hampir 5 tahun.

Dan kali ini 2013, saya di arahkan doktor untuk bersalin secara pembedahan juga pada 16 April 2013, atas sebab-sebab kesihatan saya yang lalu. Kedua-dua orang anak lahir secara pembedahan, juga pernah dicuci rahim pada Ogos 2008 selepas bersalin kerana still bleeding non stop, dan pernah mengandung luar rahim yang mana janin melekat pada ovari kiri pada  Mac 2011, pembedahan kecil juga di perut, tapi 3 tempat. Jadi untuk kelahiran kali ini, saya pun ikut nasihat doktor yang terbaik untuk saya dan selamatkan bayi saya.. Cukuplah 3 orang zuriat dari Allah untuk kami suami isteri, cuma yang ke tiga ni belum tahu jantinanya, sedang pujuk-pujuk juga suami untuk scan 3D. Maklumlah pengalaman yang terakhirkan untuk mengandung. Kalau ikutkan suami, dia tak nak saya scan 3D tu, katanya tak surprise nanti. Tapi saya pula rasa teringn sangat-sangat sebab ini pengalaman terakhir saya hamil.. kan...

Nama Penuh : Zaini Dhalemma bt Abd Ghani
ARAHAN MASUK WAD : Tajuk peringatan yang wajib kena ingat tu. hehehe.. bersiap sedia la.... "menghitung hari.. detik demi detik.. masa ku nanti pasti kan ada..."


Doakan saya dan bayi saya selamat yer.. berdebar sangat-sangat ni.. sesekali rasa tak sabar pun ada.. bila tengok kelengkapan bayi semua dah cukup, ...

Friday 15 March 2013

Semburan dari Kementrian Kesihatan Malaysia


Petang tadi  KKM datang rumah ke rumah, bagi tahu nak buat semburan asap, dan kalau nak tahu kawasan perumahan saya ni memang tahun lepas kawasan "denggi". Ramai juga lah yang kena, tapi belum ada rekod kematian, cuma deman batuk dan muntah, tahun lepas lagi kerap KKM datang. Tapi buat tahun ni, inilah kali pertama. 

Semua kena sembur, mesti ada yang dah kena demam denggi ni. Memang tak di nafikan sejak dua menjak ni, walau musim panas bayak nyamuk. Tapi tak lagi la juma nyamuk belang-belang tu.

Rumah saya atas bukit sikit dan rumah teres 2 tingkat, walaupun siang... ada nyamuk di bawah. Tengah santai-santai tengok tv mesti kena ketit sekor dua.

Tapi lega la sikit lepas KKM sembur ni, tak ada la nyamuk malam ni. 

 
Habis putih semua.. yang mana ada semua lari jauh-jauh. Ini gambar saya ambil ketika saya di jalan atas. Lorong rumah saya. Taman perumahan bawah ni rumah teres 1 tingkat. Masa KKM sembur rumah saya tadi  tak sempat pula nak tangkap gambar. Sebab sibuk kepung anak-anak. Bila KKM naik jalan atas, yang ada di atas turun bawah pula.. lari dari asap. Jiran-jiran saya ramai pula yang ada anak-anak kecil, saya je yang untung sebab anak kecill dalam perut. ~HeHeHeHe..

Tapi anak-anak yang kat luar tu kalau tak kawal letih juga.. tengah seronok, dapat kawan.. dan kawasan luas. nak berlari aje lah.. apa lagi. Bukan apa risau terlanggar dek motosikal atau kereta.

Akhir sekali.. Terima Kasih KKM atas semburan asap tadi. Matilah kau nyamuk. Yang saya paling suka.. bukan nyamuk aje yang mati, lalat lipas yang ada dlam rumah pun mati. Pakej tu.

Minum Air Kelapa Muda Semasa Mengandung

Salam Jumaat...

Air pilihan saya sejak-sejak mengandung ni "air kelapa muda" .Cuaca panas macam ni memang sedap kena air kelapa muda & banyak khasiatnya air kelapa muda ni.


Lokasi : Depan Petronas Kamunting. Gerai tepi jalan, ada air kelapa dan air tebu " fresh"... dan juga Lasksa Buyung RM2.50

Setelah saya tahu khasiat air kelapa muda ni untuk ibu-ibu yang hamil dan juga bayi dalam kandungan, selalu juga la saya minta suami saya carikan air kelapa muda, nak yang fresh dari pokok, petik, belah, minum dan kalau ada isi lembut boleh di makan. hum....... sedap.... tak payah campur ais. Tapi susah nak dapat selalu la, kalau nak pun kena balik kampung suami di Batu Kurau. Tapi kadang-kadang tak dapat juga kelapa yang muda.

Dan sejak di penghujung kehamilan ni kerap juga saya minum air kelapa muda ni, gerai tepi jalan dalam gambar di atas la tempat kunjungan saya dan suami selalu. Kadang-kadang berdua, ( sambil tunggu time anak balik tabika) dan kadang-kadang bersama anak-anak. Atau bungkus ikat tepi je..

Banyak khasiat air kelapa ini sebenarnya , tapi untuk Ibu Mengandung macam saya ni, di katakan jika di amalkan pada usia kandungan di trimester yang ke-3, boleh membersihkan air ketuban di sampaing mencantikkan kulit bayi & melebatkan rambut bayi yang bakal lahir. Air kelapa juga dapat mengaktifkan pergerakan bayi dalam kandungan. Saya dah alaminya.. Bila saya minum saja air kelapa muda ni, saya rasa bayi dalam perut saya bergerak aktif sangat, kejap  ke kiri, kejap ke kanan..

Berdua menikmatai air kelapa muda di tepi jalan.
Hasil kajian, air kelapa di katakan kaya dengan elektrolik, klorida, kalsium, potasium, magnesium, sodium dan riboflavin, sebagai isotonik alam yang kaya dengan sumber mineral untuk memulihkan stamina tubuh badan. Dan mungkin di sebabkan kandungannya, air kelapa ini di katakan dapat meredakan demam campak, dan suhu badan.

Jom ibu-ibu hamil di luar minum air kelapa muda, lepas di  minum airnya  makan isinya pula. Lebih sedap tanpa campuran gula.

Thursday 14 March 2013

Cabut Gigi Sendiri di Rumah & Ini Gigi Pertama Izz yang Gugur

Hari ni ada Maljis Penyampaian Hadiah untuk Pertandingan Mewarna peringkat Tabika Kemas Dun Kamunting. Yang bertempat di Kompleks Rakan Muda Kamunting. Banyak juga hadiah, dari hadiah anak-anak yang menang mewarna, juga hadiah cabutan bertuah untuk ibu bapa yang hadir. Tuahnya hari ni pada suami saya, sebab dapat Voucher RM100 untuk membeli belah di Pasaraya Giant. Hum.. berbaloilah juga.. kan... dan adik si anak dara saya sorang ni dapat tempat ke-19. si abang??? hum.. tak berpihak pada dia.. tapi Tahniah buat Tabika Kemas abang dan adik ada 4 ke 5 orang yang menang.

Balik dari majlis tu lah  Izz ada mengadu gigi bawahnya longgar. Saya biarkan saja.. sebab ingat tak sirius.. cuma pesan pada dia "jangan usik" sangat. 

Tapi.. gigi tu kan milik dia.. dalam mulut dia.. jadi dia asyik juga usik-usik gigi tu.. sepetang ni memang kerja dia main-main dengan gigi tu. Mulanya ingatkan sempatlah nak cabut gigi tu di klinik, sebab saya tak berapa berani nak cabut sendiri.. takut dia yang menjerit nanti.. Tapi akhirnya.. gugur juga gigi abang Izz ni. Dia sendiri main, dia sendiri yang longgarkan, dan... dia sendiri yang cabut. ~Hehehehe~


Ngeeeeeeeee ... fresh, gigi baru gugur dari gusi abang. Abang belum pun 6 tahun, tapi gigi pertama abang dah pun gugur 1. Hari ni umur abang 5 tahun, 9 bulan dan 20 hari. ~ hehe..


Senyuman dari abang saat pertama gigi abang tak ada.. Tengok yang atas sebelah tu pula, gigi tu pun dah lama juga bertukar warna ke kelabu, tak lama lagi semacam gigi tu pula yang nak gugur nanti.


Ni pula senyuman abang masa umur dalam 15 bulan. Masa ni gigi abang belum pun tumbuh penuh lagi.. 

Apa pun, ibu harap nanti gigi abang akan cepat tumbuh yang baru, pesan ibu buat abang tadi (try psyco dia) 
  • "Lepas ni tinggal lah botol susu abang tu.. sebab abang minum botol la gigi abang cepat rosak dan luruh."
  • "Selalu-selalu lah gosok gigi dengan dengan betul, jagan nak makan ubut gigi tu sebab sedap kan... ha lepas ni guna la ubat gigi ibu dengan abah yang abang kata pedas tu."
  • "Lepas ni tak boleh dah cabut gigi di rumah nak cabut gigi kena pegi klinik." 
Ada pula jawapan abang..
  •  "Semalam memang abang minta susu dalam cawan pun.. ibu yang tak dengar. bukan abang minta dalam botol pun.."
  • "Abang memang tak makan dah pun ubat gigi tu.. adik yang selalu makan.... pastu picit banyak-banyak "
  • blurr.... than jawab "OK" tapi tanya balik "Kenapa?"
Komen saya : Tak Pernah pun nak salah kan diri dia.. hehehe...

Wednesday 13 March 2013

Hari Kedua REMP-IT Hantar Anak-anak ke Tabika

REMP-IT : Bunyi macam ganas je kan. HaHaHaHa..

Takde maknanye merempit, dengan boyut-boyut ni. Cuma menunggang motosikal untuk hantar anak-anak ke Tabika. Itu pun memang slow giler.. 20-30kmj hehehe.. Percaya tak?? ( Hakikat ) Macam meronda-ronda je.. mana tidaknya, seorang di depan seorang lagi di belakang. Eh! 2 orang la.. kan.. kat dalam perut lagi ni.. Ngeeee..

Dah seminggu ( dari hari rabu lepas, bertemu hari ini hari rabu ) cinta hati saya BEH 8334 di hantar ke "Rumah Rawat" . Luarannya tu dah nampak lusuh benor,.. mana taknya last ganti cat baru masa mengandungkan Syasya. 2008. Sekarang sedang mengandungkan baby bongsu pula.

Kenapa tak Tukar Lain? :


  • Masih sayangkan dia..
  • Banyak Nostalgia cinta-cinta , keluarga & kenangan dengan dia.. 
  • Masih kuat dan engine yang tip top untuk berhidmat pada kami sekeluarga.
  • Masih berkira-kira kalau nak pakai MPV ... ( nak sara bulanan tu... )

Insyaallah.. dua, tiga hari lagi keluarlah cinta hati saya tu. Rindu giler kat seat dan steering tu.. keh keh keh. Walau cinta hati saya tu bukanlah milik saya 100% , tapi sejak anak-anak sekolah ni memang dia la peneman saya setiap hari.. hantar anak-anak ke sekolah, tuisyen, ulang alik ke rumah mak, bawa mak ke hopital... Suami?? dia drive saya di sebelah bila dia cuti aje. selebihnya memang saya lah yang pengang steering tu. Kalau ada je yang tak kena dengan kereta tu "harus" si dia tu salahkan saya. HaHaHaHa.. Perempuan kalau bawa kereta tu gini lah .. gitu lah .. semua serba tak kena kalau perempuan bawa kereta.

Lupakanlah cinta hati saya tu.. belum keluar lagi pun.. Tapi rindu memang rindu. lagi pun rasa bahaya juga hantar 2 orang anak ke Tabika dengan menunggang motosikal ni, nak pula saya mengandung. Perut pun semakin besar. Bukan minta sesuatu kejadian yang buruk berlaku, tetapi harus beringat. Oleh itu, haruslah "berhati-hati".


Cuba bayangkan saya dengan boyut ni.. dengan anak-anak seorang depan seorang belakang dengan motosikal ni? Hehehe.. macam mana agaknya orang keliling tengok saya ya? Jarak sekolah dengan rumah lebih kurang 2km.

Anak bujang Ibu : Dhia Izz Hail


Tuesday 12 March 2013

Opsss!! Tak Menjadi


Ini ha yang tak menjadinya..  "Opss Berhenti Nyusu Botol"  Dalam entri tahun lepas KLIK SINI ada saya traning kan budak-budak berdua ni minum susu dalam cawan. Mula-mula susah juga, 
Sebab masing-masing memang dah terbiasa minum dalam botol susu. Sedap Nyonyot agaknya. 
Sambil - sambil landing depan TV layanzzzzzzzz 
Lepas tu mesti lena.


Tengok .. kan dah lena Abang Izz ni. Abang.... abang, tak berapa minggu je lagi abang dah 6 tahun.
 Dan sebelum abang 6 tahun abang akan dapat adik lagi sorang. 
Tapi abang tetap abang & "Ngimau Musyuk" abang bila nak tido, dan juga botol susu. 
Tu tak habis tu dah lena, nanti dah terjaga dari lena sambung balik susu tu. 
Sambil layan astro ceria 611.

Ada petua tak nak bagi anak-anak tinggal botol susu ni??

Monday 11 March 2013

Siapkan Barang Keperluan Bayi dan Ibu Untuk di Bawa ke Hospital

Minggu lepas dah siap basuh wangi-wangi semua pakaian baby, yang lama pun masih boleh guna juga di basuh semula.. maklumlah anak yg ke-2 pun dah dekat 5tahun. Jadi dah lama sangat baju-baju tu semua di simpan, tapi tak banyak yang tinggal sebab ada yang dah di beri pada orang yang lebih memerlukan. Jadi lebih bayak yang baru. Saya beli sikit-sikit, lebih banyak beli on line dari kenalan di facebook.

Siap awal-awal sementara ada masa terluang ni, walau mood hari ni masih dalam selsema.. jadi hidung ni asyik "sok sek.. sok sek.." pegi bilik air untuk buang dan bersihkan. Tak selesa nak bernafas.


Senang bila semuanya dah ready. Cukup kelengkapan bila di hospital tak perlulah nanti si suami berulang alik  kerumah untuk mencari barang-barang yang perlu. Jadi dalam berkemas-kemas tadi sempat juga la saya senaraikan barang-barang penting untuk bayi dan ibu.

Keperluan bayi :

  1. Tuala bayi.
  2. Lampin pakai buang 10pcs
  3. Baju baby newborn ( romper lengan pendek 3 helai, baju lengan pendek berbutang 2 helai, romper lengan panjang 2 helai)
  4. Kain Lampin 1 helai ( untuk bedung)
  5. Selimut bayi 1 helai
  6. Bantal bayi 1 biji.
  7. Baby wipes travel pack 1.
  8. Wangian bayi, ( bedak, mandian, losyen, minyak telon )
  9. Baby mittens & botties 2 pasang.
  10. Barut bayi 2 pcs
  11. Sapu tangan 1
Rasanya cukuplah agaknya.. saya mungkin di hospital 3 ke 4hari sebabnya kebiasaan bersalin ceaser ni memang jaraknya bergitulah. Untung bersalin normal cuma 1 ke 2 hari aje di hospital.

Keperluan Ibu :
  1. Paling penting "Buku Pink" (buku cacatan mengandung) 
  2. Deodoran
  3. Minyak angin (saya guna minyak yu yee cap limau)
  4. Sikat
  5. Kelengkapan mandi (mandian, berus gigi & ubat gigi, pencuci muka)
  6. Tuala
  7. Stokin panjang (saya guna jenama scholl, memang selesa paras separuh paha)
  8. Kain batik
  9. maternity pads. (dalam 10pcs, biar lebih sebabnya 3-4 hari di wad )
  10. sepasang pakaian ( untuk di pakai bila keluar wad nanti)
  11. Biskut kering (untuk kudap-kudap)
  12. Susu Anmum Lacta (menggalakkan susu badan untuk penyusuan bayi nanti)
  13. Flask isi air panas
  14. 1 botol air masak
  15. Cawan dan sudu.
Wah... nampaknya senarai barang Ibu lebih banyak dari bayi.. "haruslah" bila semua dah siap rasa lega dan terseyum sendiri.. Tak sabar menghitung hari. Insyaallah dengan izin dari Nya bulan depan lahirlah seorang hamba Allah yang di pertanggungjawabkan pada kami suami isteri untuk membentuk dan membimbingnya mengenali Allah swt.

"saya pilih biru pink"


Sunday 10 March 2013

Demam, Selsema, Batuk Berkahak ... Ketika Hamil 33 Minggu

Risau juga bila demam ni, tapi Alhamdulillah tak lah panas berpijar, cuma suam-suam je.. (udah dedor-dedor sikit) tapi pening kepala usah cakaplah dan paling rasa lambat kebah sebab tak peluh. Semalam cuma pening-pening saja, tapi memang hari  sebelum tu, (Jumaat) pagi-pagi lagi dah mula rasa pedih tekak, "panas", hidung pun sama. Ingatkan cuma akan hilang suara seketika dan selsema biasa. Tapi petangnya, hidung mula berair,mujur tekak yang pedih dah berkurangan sebab saya minum air masak dan air perahan limau kasturi.

Tapi bila ibu yang tak sihat, tetap juga lakukan kerja-kerja rumah kan, membasuh,jemur, memasak, mengemas, pantau anak-anak di rumah.. semuanyalah. Tetap kena buat, "harus". Rehat seketika bila badan mula penat. Dalam keadaan perut yang semakin hari-semakin membesar memang rasa semua yang dilakukan macam sukar. Tapi di gagahkan juga la.. "Kalau tak buat sape nak buat kan? " Mujur suami sangat memahami.

Pagi ni memang saya bangun lewat, anak-anak sudah di bawah, (rumah teres kos rendah 2 tinggat) tapi masing-masing belum mandi, sedang menonton tv, (katoon la apa lagi) Terfikir pula oleh kepala ni sarapan, anak-anak mesti lapar, dan baby ibu dalam perut pun lapar. Pegang-pengang dahi, muka, leher, mula panas, so mandi terus. Di gagahkan juga masak nasi goreng simple, lepas tu ingin sangat nak berehat tapi nampak pula kain baju bertimbun dalam bakul, apalagi mula mendobi pula,... Balik aje suami ada belikan bahan mentah utuk masak. Memang tak mampu dah nak menyiang, basuh, dan masak.. tapi seperti selalu memang itu semua suami yang uruskan, "Terima Kasih abang" Masak pun  dia walau gorengkan saja puyuh yang abang beli tadi. (memang selera kami puyuh di goreng garing) "Terima Kasih Sekali Lagi" 

Bab "BATUK" pula, memang rasa perit sekali bila rasa nak batuk. Mesti kena pegang perut untuk ampu baby di dalam dan tekak pun rasa susah sangat nak keluarkan batuk tu. Lepas selesai ,perut pula rasa mengeras. (kontraksi berlaku) "Allahuakhbar". Lepas makan sikit tadi (tekak tak selera) dan minum segelas susu "Anmum Materna" saya ambil 5ml ubat batuk. Lepas tu cuba rehat. Kalau nak ikutkan takboleh rasanya makan ubat batuk ketika hamil. Takut ada kesan sampingan pada bayi. Jadi lepas tekak dah rasa berangin saya minum air masak. Dan sekarang sedang rehat sambil menulis entri ini.

Apa yang boleh dikongsi di sini adalah : Apabila demam minumlah air masak dalam jumlah yang banyak, minum sedikit-sedikit tidaklah minum sekali teguk. Kerana apabila kita demam, ia akan membuatkan tubuh badan kita menjadi cepat letih, tidak bermaya dan haus di sebabkan dehidrasi. Jadi di sebabkan itulah kita mesti minum banyak lebih banyak air masak ketika demam.


Dan ini berpatutan dengan sabda Rasulullah a.s..."Demam panas adalah serpihan dari neraka, maka sejukkan lah ia dengan air" (hadis sahih al-Bukhari dan Muslim)
Apabila berehat pula, bolehlah letakkan tuala basah di dahi dan kepala, juga boleh lapkan tuala yang basah pada dada dan bahagian-bahagian abdomen lain. Tujuannya untuk mengurangkan haba , dan rasa panas dalam badan.  Ulanginya lagi jika badan masih terasa panas. Kalau bayi yang demam tersangatlah mudah untuk lapkan badannya dengan tuala basah. Sebab saiz badannya yang kecil amatlah mudah untuk tuamkan tuala basah pada kepala, dada dan bahagian belakangnya.



Air sangat penting kepada tubuh badan kita. "Dan semoga demam satu hari yang kita tanggung dengan penuh sabar akan menghapuskan dosa-dosa kecil " Amin......... 




Saturday 9 March 2013

Kandunganku Kini 33 Minggu

Kalau nk ikut kiraan yg sebenar 32minggu 6hari. tapi kira 33 minggu lebih senangkan. Tinggal lagi beberapa minggu je lagi. Isnin lepas, 4 Mac 2013 saya ke KKIA sekali lagi untuk pemeriksaan kandungan minggu ke 32. Alhamdulillah... hb dah ok, tekanan darah pun ok, bayi saya pun ok, aktif lagi, saya pun sihat (ketika itulah) cuma kencing ada kotor sikit. 1+ve .  Jadi Jururawat yg bertugas pun sarankan agar saya berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut dan tindakan susulan untuk beri ubat atau nasihat..

Biasanya ke KKIA sekejap je, paling lama 1jam. Tapi kali ni lama betul tunggunya. KKIA yang saya pergi menjalankan sistem pemeriksaan mengikut kawasan perumahan dan kampung, ada 3 ke 4 orang jururawat yg di tugaskan untuk menjaga setiap kawasan. Tapi hari tu ada 2 orang je jururawat yang bertugas, mungkin yg lain pergi melawat.

Sebab tu lah kena tunggu lama, dah tunggu lama kena jumpa doktor pula, bila jumpa doktor sekali lagi kena tunggu sebab kena ambil nombor lain pula. Doktor kata banyakkan minum air masak dan sentiasa bersihkan selepas bersama atau selepas bunag air kecil.

Semoga Allah permudahkan urusan kelahiran bayi saya nanti, tak sabar rasanya nak tunggu bayi ibu lahir.

Saturday 2 March 2013

Perut Sering Mengeras Ketika Trimester Ke-3


Hari ini kandunganku hampir 32 minggu, (31/52w, 5/7d). Sejak usia kandungan masuk 28minggu , boleh di katakan kerap sangat perut ni mengeras. Tapi bila cuba di ubah posisi.. Alhamdulillah kembali normal. dan terasa gerakan bayi, yang mungkin cuba meregangkan otot-ototnya.

Braxton Hicks Contraction : 

Perut mengeras, atau Braxton Hicks Contraction ini adalah perkara biasa yang akan berlaku kepada Ibu Mengandung terutamanya bila usia kandungan masuk ke Trimester ke-3.
Tapi perlu di kenal pasti sama ada contraction biasa atau contraction hendak bersalin. Contraction yang saya alami sekarang adalah contraction biasa...

Bila Mula Contraction Berlaku? :


  1. Biasaya ketika memandu, sering sangat perut ni mengeras, jadi perlu saya regangkan posisi kedudukan. Saya  lebih selesa bila bersandar, tetapi tidak tegak. Sebab kalau tegak akan lebih sesak rasa perut, dan mulalah rasa perut lebih keras. 
  2. Bila duduk, pun masaalah.. memang tak boleh duduk bersandar atau pun tidak.
  3. Berjalan, pun juga masaalah bila berjalan .. tak perlu berjalan lama.. sekejap pun dah mula rasa perut mengeras dan terasa berat sekali untuk menampung berat bayi dlam kandungan.
Setelah di google-google, terjumpalah oleh ku sisi atau posisi yang betul untuk mengelakkan contraction biasa ini berlaku.

Mari berkonsi :









Kalau bab duduk selalu juga lapikkan bantal kecik di pinggang. Bergitu juga tidur, memang akan mengiring dan akan lapikkan juga bantal kecil di perut sebagai pelapik untuk menampung berat bayi dalan kandungan. Tapi.... bab berjalan tu yang tak pasti, hehehe.. lepas ni kenalah sentiasa pastikan berjalan menegak.

Tapi adakalanya menegak juga, bila mula terasa perut mula mengeras, sambil sebelah tangan menampung berat perut di bahagian bawah. Sambil menarik nafas dalam-dalam dan mengusap-usap permukaan perut, sambil saya berbual sendiri dengan bayi di dalam perut ni..

Selain dari Posisi atau Kedudukan yang Betul, Senaman Juga Dapat Membantu :


  • Bersenamlah sekurang-kurangnya 30minit setiap hari, ini akan membuatkan badan akan terasa sihat dan bertenaga. Tetapi perlu dapatkan nasihat doktor sebelum mahu memulakannya.
  • Cuba berenang pada kelajuan yang sesuai dengan diri sendiri.
  • Berjalan atau berbasikal pada kelajuan yang sesuai juga keselesaan diri, dan cuba bercakap dalam keadaan yang selesa dengan nafas yang baik. (aktiviti ini biar berteman)
  • Lakukan senaman ringan seperti cuba regangkan otot-otot.

Tapi rasanya yang mampu saya lakukan hanyalah senaman ringan iaitu regangan otot-otot. Yang lain tak dapat rasanya nak melakukannya.. Apatah lagi berenang, sebab memang tak pandai langsung berenang. Banyak kali dah mencuba.. bab apungkan badan lepas, tapi dalam beberapa minit saja.. Berkubang bolehla.. heheheh.. yang tu yang biasa..